Background

MENGENALI SEJARAH MUAR BANDAR DI RAJA


Muqadimah

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana pada tanggal 12 Rabiul Awal 1433H bersamaan 05 Februari 2012, DYMM Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Bandar Muar atau lebih dikenali sebagai Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja Johor sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor.

Tentang Muar

Daerah Muar terletak di barat laut negeri Johor, Malaysia. Daerah Muar terdiri daripada bandar Muar itu sendiri dan juga daerah kecil Tangkak. Muar bersempadan dengan Melaka di utara, Segamat di timur dan Batu Pahat di selatan.

Geografi


Daerah Muar berkeluasan 2346.12 km persegi dengan penduduk seramai 328,695 orang (bancian 2000). Perkataan ‘Muar’ dipercayai berasal daripada Muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan hindu iaitu “Muna” dan ‘Ar” yang masing-masing bermaksud Tiga dan Sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir  melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.

Pusat pentadbiran baru yang dikenali sebagai Muar 2 sedang dirancang untuk dibina di Muar. Pusat pentadbiran baru tersebut akan menempatkan semua jabatan Kerajaan Negeri  dan Persekutuan dan dijangka terletak berhampiran dengan Muar Bypass di bandar Muar.


Sejarah

Sebagai seorang warga Muar khasnya dan Johor amnya, saya amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan Johor kepada Bandar Maharani yang sememangnya layak digelar Bandar Diraja Johor.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Muar sememangnya sinonim dengan keluarga Diraja Johor yang sentiasa memelihara warisan sejarah negeri agar ianya terus gemilang.

Sebelum Sultan Ibrahim mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Diraja Johor, nenda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar telah berkenan mengurniakan gelaran Bandar Maharani kepada Bandar Muar pada 1887 iaitu bandar pertama di Malaysia yang diberikan sempena nama sultanah atau pemaisuri Sultan. Walaupun tidak diberikan pengisytiharan sebagai bandar diraja ketika itu, Muar sememangnya telah diiktiraf sebagai bandar diraja kerana Sultan Abu Bakar sering mencemar duli ke bandar ini bersama-sama Sultanah Fatimah dalam membangunkan Daerah Muar ketika itu.


Muar adalah kaya dengan sejarah tetapi disebabkan ketiadaan catatan sejarah yang sempurna dan bukti-bukti arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara,pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.Muar juga adalah tempat terletaknya satu-satunya makam kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (1477-1488).Makam kesultanan Melaka yang lain telah dibinasakan dengan kejam oleh Portugis semasa penaklukan mereka ke atas Melaka. Muar turut memainkan peranan dalam mengekang kemaraan tentera Portugis pada tahun 1511. Bagi menangani serangan armada Portugis,Kubu Bentayan telah dibina oleh Sultan Melaka untuk mematahkan serangan dari arah laut.


Muar di era Portugis juga menempatkan sebuah kubu iaitu ‘Fortaleza de Muar’ bagi mempertahankan koloni Portugis daripada serangan Belanda dan Aceh.


Muar adalah bandar di-Raja di selatan Johor.Ia pernah menjadi sebuah Kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali dalam masa yang singkat (1855 – 1877),apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar) telah diserahkan kepada Dato' Temenggong Daing Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali. Sultan Ali adalah pewaris sebenar kesultanan Johor tetapi kelemahan beliau telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggong. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor. Muar turut dikenali sebagai Bandar Maharani, nama yang diberikan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884. Muar selama bertahun-tahun adalah bandar yang kedua terbesar di Johor tetapi kedudukan tersebut telah diambil alih oleh Batu Pahat. Namun demikian, Muar masih merupakan bandar kedua terpenting dari segi pentadbiran selepas ibu negeri Johor Bahru.

Leave a Reply